Pola ayat dasar ke-4 bahasa Melayu: pemerian dari perspektif pragmatik
Abstrak
Pada dasarnya, Tatabahasa Dewan (2004:322) telah menggolongkan empat pola ayat dasar bahasa Melayu seperti: (1) Frasa Nama + Frasa Nama, (2) Frasa Nama + Frasa Kerja, (3) Frasa Nama + Frasa Adjektif, dan (4) Frasa Nama + Frasa Sendi Nama. Penggolongan pola ayat dasar oleh Tatabahasa Dewan ini dibuat berdasarkan ayat-ayat dasar bentuk permukaan yang terhasil dalam pertuturan ataupun penulisan penutur bahasa Melayu. Bagi pola ayat 1, 2 dan 3, unsur inti yang mengisi konstituen subjek dan predikat itu mengkonsepsikan makna yang jelas dan dapat ditanggapi akal penutur bahasa Melayu. Bagaimanapun, bagi pola ayat 4, unsur inti yang mengisi konstituen predikat, iaitu kata sendi nama jelas sekali berbeza dengan unsur inti yang mengisi predikat pola ayat 1, 2 dan 3 kerana ia tidak mengkonsepsikan sebarang makna konsep pada penutur ataupun pengguna bahasa Melayu. Dengan kata lain, kata sendi nama yang menjadi unsur inti frasa sendi nama dalam konstituen predikat ini tidak mempunyai makna rujukan, sama ada yang bersifat konkrit ataupun abstrak. Hal ini sebenarnya merupakan satu persoalan yang belum terjawab secara sempurna kenapa frasa sendi nama yang unsur intinya diisi oleh kata sendi nama dapat mewakili satu pola dasar bagi ayat bahasa Melayu. Kata sendi yang tidak mengkonsepsikan sebarang makna konsep sepatutnya menyukarkan frasa ini ditanggapi dan difahami oleh penutur ataupun pengguna bahasa Melayu selama ini. Namun hal yang sebaliknya berlaku, frasa sendi nama hadir dalam konstituen predikat dalam ayat-ayat bahasa Melayu dan menampakkan seolah-olah kata sendi ini mempunyai makna yang dikonsepsikan dan difahami oleh penutur ataupun pengguna bahasa Melayu selama ini. Persoalan ini nyata sekali memerlukan penjelasan dan analisis yang mendalam berdasarkan konteks penggunaan yang sebenar dalam kehidupan seharian penutur dan pengguna bahasa Melayu. Dan kajian seumpama ini hanya dapat ditangani oleh bidang pragmatik, satu-satunya bidang kajian dalam linguistik yang dapat menjelaskan dan memerikan makna dan penggunaan bahasa berdasarkan konteks. Dengan menggunakan pendekatan pragmatik, khususnya kerangka teori Relevans, pengkaji percaya persoalan pola ayat ke-4 yang digunakan oleh penutur dan pengguna bahasa Melayu dapat dijawab dengan lebih kritis dan empiris berdasarkan prinsip-prinsip relevans kognitif dan komunikatif serta idea-idea yang digagaskan oleh Sperber dan Wilson (1986,1995).
Rujukan
Muat turun
Diterbitkan
Terbitan
Bahagian
Lesen
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.
