Daripada Permusuhan kepada Perdamaian: Menelusuri Sikap Syed Sheikh al-Hadi terhadap Penjajah melalui Analisis al-Imam dan al-Ikhwan

Pengarang

  • Mohamad Tauhid Mohd Bakhit Department of Malay Studies, National University of Singapore

DOI:

https://doi.org/10.37052/jm.18(2)no5

Abstrak

Sheikh al-Hadi (1867-1934) merupakan tokoh terkemuka dalam wacana gerakan reformisme di Alam Melayu. Antara usaha dalam menyebarkan gagasannya termasuklah penubuhan tiga jurnal: al-Imam (1906-1908), al-Ikhwan (1926- 1931) dan Saudara (1928-1941). Antara ketiga-tiga jurnal ini, al-Imam menjadi sumber kajian utama manakala al-Ikhwan kekal sebagai sumber yang terus terpinggir dalam usaha mengenal pasti pemikiran al-Hadi. Pengecualian jurnal ini menutup ruang dalam mengenal pasti perkembangan serta perubahan dalam cara pemikirannya, apatah lagi memandangkan al-Ikhwan diterbitkan hampir dua dekad selepas al-Imam dihentikan. Hal ini telah menimbulkan kesimpulan yang kurang memuaskan berkenaan sikap al-Hadi terhadap kuasa kolonial. Tanpa mengambil kira sebarang perubahan yang mungkin berlaku dalam tempoh dua dekad tersebut, beberapa kajian menyimpulkan bahawa al-Hadi menentang kolonialisme secara konsisten manakala kajian-kajian lain pula menyimpulkan sebaliknya, lantas menimbulkan percanggahan yang ketara antara kedua-dua kesimpulan ini. Menerusi kaedah analisis tekstual terhadap al-Ikhwan serta perbandingan dengan tulisan awalnya dalam al-Imam, makalah ini mengetengahkan bahawa terdapat peralihan yang ketara dalam pendirian al-Hadi terhadap kuasa kolonial: awalnya bersikap membantah dalam al-Imam lalu kemudiannya berdamai dalam al-Ikhwan. Melalui analisis sosiosejarah, makalah ini turut berusaha menjelaskan peralihan ini dengan meneliti perbezaan konteks yang melatari penulisan al-Hadi bagi kedua-dua jurnal tersebut. Hal ini menonjolkan pendekatan kritis al-Hadi terhadap usaha reformisme—suatu pendekatan yang bukan sekadar meniru mahupun mengimport gagasan tokohtokoh reformis asing, melainkan berlandaskan keadaan dan cabaran yang beliau hadapi sendiri.

Teks penuh: PDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2025-07-31