Intonaphobia: Kekurangan Persepsi Mikrotonal yang Dibentuk Secara Budaya dalam Kalangan Pemuzik Gambus Melayu yang Tidak Terbiasa dengan Tradisi Maqam
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.18(2)no1Abstrak
Artikel ini memperkenalkan istilah asal Intonaphobia bagi merujuk satu bentuk kekurangan persepsi yang terbentuk secara budaya, yang diperhatikan dalam kalangan pemuzik yang tidak terbiasa dengan tradisi muzik berasaskan maqām; terutamanya mereka yang dilatih sepenuhnya dalam sistem talaan tetap dua belas nada (twelve-tone equal temperament) Barat. Kajian ini menangani cabaran berterusan yang dihadapi oleh pemuzik ini: kesukaran untuk mengenal pasti, menginternalisasi dan menghasilkan semula selang mikrotonal dengan tepat, khususnya nada suku (quarter-tone) yang menjadi asas kepada identiti banyak maqāmāt. Berdasarkan pengalaman etnografi dan pedagogi penulis dalam pengajaran persembahan oud (gambus), serta penemuan empirikal daripada analisis persembahan dan temu bual bersama para informan; termasuk bahan audio arkib oleh Allahyarham Haji Fadzil Ahmad; kajian ini menyoroti kejadian berulang kekeliruan modal, seperti kekeliruan antara maqām Kurd dengan Bayati, serta Ajam dengan Rast. Artikel ini menghujahkan bahawa Intonaphobia bukanlah bentuk tuli nada klinikal, sebaliknya merupakan satu bentuk keterbatasan persepsi yang dibentuk oleh jangkaan tonal yang tertanam secara budaya dan memori pendengaran yang dibentuk oleh sistem talaan tetap. Dengan mentakrif dan mengkontekstualkan fenomena ini, kajian ini menawarkan perspektif baharu dalam pendidikan muzik rentas budaya, mencadangkan satu kerangka diagnostik untuk mengenal pasti bias persepsi nada, serta menggariskan strategi pemulihan bagi pemuzik yang terlibat dalam tradisi muzik mod bukan-Barat.
Teks penuh: PDF
