Syair Kisah Engku Puteri: Konsep Kepimpinan Akhlak dalam Tradisi Historiografi

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/jm.18(1)no2

Abstrak

Dalam membincangkan konsep kepimpinan akhlak sebagai daya upaya penting dalam tradisi historiografi Melayu, kajian ini memfokuskan Syair Kisah Engku Puteri yang dikarang oleh Engku Haji Ahmad yang mengisahkan perjalanan hidup Engku Puteri Raja Hamidah, Permaisuri kepada Sultan Mahmud Riayat Syah yang jarang mendapat perhatian dalam kajian sarjana. Sebagai pemegang regalia Kerajaan Riau, Engku Puteri Raja Hamidah mencerminkan kepimpinan akhlak yang luhur dengan usahanya mempertahankan kedaulatan Kerajaan Riau daripada ancaman penjajah. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menelusuri sejauh mana konsep kepimpinan berasaskan akhlak memainkan peranan utama dalam pembentukan watak seorang pemimpin. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah kajian kepustakaan. Analisis konsep kepimpinan akhlak dilakukan berdasarkan kerangka konsep al-Ghazali (2013) dengan merujuk beberapa peristiwa yang terkandung dalam Syair Kisah Engku Puteri. Empat aspek utama sifat kepimpinan yang berakhlak mulia tersebut terakam dengan jelas dalam Syair Kisah Engku Puteri, iaitu sifat baik yang sebati dalam jiwa, sifat semula jadi yang baik tanpa perlu membuat pertimbangan fikiran, sifat akhlak yang baik menurut al-Quran dan al-Sunnah, dan sifat yang menghindari segala perbuatan yang buruk menurut pertimbangan al-Quran dan al-Sunnah. Sehubungan dengan itu, konsep kepimpinan akhlak yang ditonjolkan dalam tradisi historiografi ini membuka ruang kepada lebih banyak kajian mengenai kemampuan dan peranan seorang pemimpin sama ada seorang Sultan atau Permaisuri dalam konteks historiografi Melayu.

Teks penuhPDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2025-01-27