Pengaruh Alam terhadap Pembentukan Kosmologi Masyarakat Iban di Sarawak

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/jm.18(1)no6

Abstrak

Masyarakat Iban mempunyai cara pandangan dunia yang tersendiri dalam menginterpretasikan kepercayaan mereka terhadap dunia dan kehidupan. Amalan kepercayaan masyarakat Iban mengenai kewujudan susunan alam didorong oleh Pengarap Lama, iaitu ajaran agama nenek moyang terdahulu yang menjadi platform terawal yang membentuk pemikiran mereka pada ketika itu. Kepercayaan tersebut berkait rapat dengan pengaruh alam semula jadi yang membentuk manifestasi kebudayaan mereka. Oleh itu, penulisan artikel ini adalah bertujuan untuk menganalisis pengaruh alam dalam pembentukan kosmologi masyarakat Iban di Sarawak. Kajian ini mengaplikasikan kaedah pendekatan kualitatif berbentuk etnografi berdasarkan pemerhatian biasa, pemerhatian turut serta dan temu bual informan secara mendalam melalui teknik ingatan kolektif. Pensampelan kajian ini menggunakan teknik pensampelan bukan kebarangkalian, iaitu informan yang ditemu bual merekrut informan lain yang dikenalinya serta mempunyai bidang kepakaran yang berkaitan dengan kajian ini. Kajian mendapati bahawa pengaruh alam semula jadi adalah penting dalam membentuk kosmologi (susunan alam semesta) dan membantu masyarakat Iban mencorakkan cara pandangan dunia mereka yang tersendiri. Kajian ini diharapkan dapat menjadi rujukan tentang cara pandangan dunia masyarakat Iban di Sarawak dalam pembentukan kosmologi dalam masyarakat mereka.

Teks penuhPDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2025-01-27