Peranan Perkampungan Warisan Budaya Kampung Teluk Kepayang dalam Pemartabatan Budaya Melayu
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.17(2)no1Abstrak
Dalam usaha mendalami budaya bangsa Melayu, kesinambungan penerusan warisan dan budaya oleh generasi pelapis dapat mengangkat dan melestarikan tradisi kebudayaan Melayu kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Pemuliharaan budaya Melayu dalam masyarakat perlu diperkasa bagi mengelakkan budaya Melayu dipinggirkan dan berada dalam keadaan yang terancam. Perkampungan Warisan Budaya Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak mempunyai keunikan yang tersendiri dan berbeza dengan perkampungan yang lain di Malaysia, di mana kampung ini dibentuk hasil inisiatif untuk memartabatkan warisan budaya masyarakat Perak. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengkaji peranan perkampungan ini dalam mengangkat budaya Melayu. Kajian ini telah menggunakan program yang dicadangkan oleh Pemetaan Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bagi pembahagian sub budaya dan menganalisis data mengenai aktiviti kebudayaan tersebut. Hasil kajian mendapati bahawa aktiviti kebudayaan dan tradisi yang masih diamalkan di kampung tersebut membantu menghidupkan semula budaya Melayu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda pada masa kini, dan sedikit sebanyak merancakkan industri pelancongan di negeri Perak. Kesimpulannya, penulisan ini diharapkan mampu memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai pemartabatan budaya Melayu melalui kewujudan Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri Perak malah memperkasakan budaya Melayu di Malaysia.
Teks penuh: PDF
