Reti Bahasa dalam Pemikiran Hassan Ahmad dan Potensi Keilmuannya
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.16(2)no1Abstrak
Membangunkan kerangka keilmuan dalam acuan watan memerlukan perumusan yang bersifat konseptual terhadap sesuatu istilah penting. Rumusan konseptual ini dipasak pula dengan teras atau prinsip yang mengandungi natijah falsafah, teori dan tatakaedah agar istilah yang diangkat itu berdaya menjadi tunjang dalam atur cara penyelidikan sesuatu bidang ilmu. Makalah ini berhasrat membangunkan satu konsep yang sedemikian khusus untuk ilmu linguistik bahasa Melayu. Maka, istilah reti bahasa dicadangkan bagi mencapai hasrat ini. Analisis bermula dengan membahaskan reti bahasa menurut pemikiran Hassan Ahmad (2016) yang menggunakan istilah tahu bahasa. Makna tahu bahasa ini dikupas, dan alasan turut diberikan untuk menggantikannya dengan reti bahasa. Istilah reti bahasa kemudiannya dibahaskan menurut perspektif etimologi, sejarah dan sosiologi bagi menyerlahkan maknanya yang asli. Daripada makna asli ini diterbitkan pula empat teras utamanya, iaitu tatabahasa, tataberbahasa, tatalaku dan tatafikir. Bukti keberadaan keempat-empat teras ini dikaitkan dengan karya oleh para penahu watan yang tidak sekadar memerikan sistem dan struktur linguistik bahasa Melayu, tetapi secara tersirat turut menjelmakan natijah kesempurnaan sistem dan struktur itu kepada pembentukan pertimbangan dan keperibadian penuturnya. Makalah turut membuat penegasan bahawa konsep reti bahasa berkemungkinan besar berdaya menjadi bukti kewujudan warisan keilmuan linguistik bahasa Melayu yang asli.
Teks penuh: PDF
