Implikasi Perjanjian London 1824 terhadap Persempadanan dan Ekonomi Pulau Sebatik

Pengarang

  • Lasmi binti Lukito Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
  • Ishak Saat Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

DOI:

https://doi.org/10.37052/jm.16(2)no4

Abstrak

Makalah ini membincangkan tentang implikasi yang berlaku terhadap persempadanan dan ekonomi Pulau Sebatik, ekoran daripada Perjanjian London pada 17 Mac 1824 melibatkan dua kuasa kolonial, iaitu pihak British dengan pihak Belanda. Perjanjian ini turut dikenali sebagai sebuah persetian yang juga dipanggil sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda (1824), yang telah menyelesaikan isu persengketaan antara British dengan Belanda dalam Perjanjian Inggeris-Belanda (1814). Rentetan perjanjian yang melibatkan dua kuasa besar ini, secara tidak langsung memberi implikasi terhadap tanah jajahan masing-masing pada ketika itu. Impak yang besar ini mengakibatkan Kepulauan Melayu dibahagikan kepada dua lingkungan pengaruh, iaitu pengaruh British dan pengaruh Belanda. Akhirnya berlaku perpecahan yang melibatkan Empayar Johor-Riau, apabila Singapura dan Tanah Besar Johor jatuh dalam jajahan British, manakala Kepulauan Riau di bawah jajahan Belanda. Walaupun dilihat perjanjian ini seolah-olah memberi kepuasan yang tuntas kepada kedua-dua kuasa kolonial tersebut, namun perjanjian ini tidak mampu menamatkan persaingan yang wujud antara kedua-duanya, sebaliknya ekoran perjanjian ini, pihak British dan Belanda dilihat semakin sengit bersaing dalam memiliki tanah jajahan. Keadaan inilah yang berlaku terhadap sebuah pulau yang berada di bahagian utara Borneo, bersempadan dengan Kalimantan Timur (kini Kalimantan Utara), dikenali sebagai Pulau Sebatik. Pulau Sebatik menerima implikasi secara langsung ekoran garisan pembahagian yang melibatkan pulau berkenaan seperti yang termeterai dalam Perjanjian London 1824. Melalui kajian yang dijalankan memperlihatkan garis lurus sempadan tersebut masih kekal sehingga hari ini, melibatkan dua entiti negara, iaitu Malaysia dan Indonesia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Maklumat diperoleh daripada kajian lepas, dokumen rasmi seperti fail dan mikrofilem dan juga fail Colonial Office (CO), Foreign Office (FO) dan North Borneo Central Archive (NBCA) di Arkib Negeri Sabah dan Arkib Negara Malaysia. Dapatan kajian mendapati bahawa Perjanjian London 1824 memberi kesan secara langsung terhadap penduduk yang mendiami Pulau Sebatik bermula selepas era kolonialisasi Barat ini tamat di Malaysia pada tahun 1963 dan di Indonesia pada tahun 1945. Oleh yang demikian, makalah ini akan memaparkan punca utama yang membawa kepada berlakunya Perjanjian London 1824, dan kesannya terhadap Pulau Sebatik khususnya dalam persempadanan dan ekonomi.

Teks penuhPDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2023-07-05