Kurangnya Penglibatan dan Minat Wanita Melayu dalam Bidang Kejururawatan pada Awal Pascakolonial Malaysia (1957-1977): Perspektif Budaya
(The Underrepresentation and the Disinterest of Malay Women in Nursing in the Early Post-Colonial Malaysia (1957-1977): A Cultural Perspective)
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.14(2)no2Abstrak
Kejururawatan moden bermula di Tanah Melayu ketika era kolonial dengan nilai-nilai kolonial terpasak bersama-samanya. Ketika dua dekad pertama pascakemerdekaan Malaysia, kaum Melayu merupakan golongan minoriti dalam sektor kejururawatan biarpun kaum Melayu merupakan golongan majoriti dalam populasi. Kajian ini membincangkan isu paradoks kekurangan penglibatan wanita Melayu ini dari lensa budaya Melayu dalam tempoh tersebut. Analisis dokumen dijalankan terhadap laporan tahunan, surat rasmi, kertas minit, laporan akhbar dan penyata rasmi parlimen antara tahun 1957 hingga 1977. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kekurangan pelibatan kaum Melayu dalam sektor kejururawatan disebabkan oleh kurangnya minat wanita Melayu untuk menjadi jururawat kerana pertentangan antara budaya Melayu dengan pelbagai aspek kejururawatan moden. Artikel ini menunjukkan kepentingan suasana kerja yang mesra budaya dalam hal mempromosikan keterangkuman untuk ahli rencam latar dalam masyarakat.
Kata kunci: kejururawatan, wanita Melayu, pasca-kolonial, keterangkuman, kerencaman
