Objek dalam Metafora dan Akal Budi Melayu
(Objects in Malay Metaphors and the Malay Mind)
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.13(2)no2Abstrak
Simpulan bahasa, peribahasa, simile dan pantun dimasukkan di bawah kategori metafora Melayu. Menariknya, metafora ini bukan semata-mata harfiah sifatnya, malah sarat dengan falsafah yang dapat membawa kita memahami pemikiran Melayu. Jelasnya, metafora ini terbentuk dengan adanya objek khusus yang mempunyai pertalian yang rapat dengan makna, maka adalah berbaloi untuk dilihat hubungan ini dengan makna yang hendak disampaikan. Kajian ini memfokuskan pada data simpulan bahasa "mata" dan "kuku". Ulam-ulaman dipilih bagi mewakili pantun. Semua data ini diambil daripada www.malaycivilization.com. Data telah dianalisis menggunakan semantik inkuisitif dan diupayakan untuk mencungkil peranan kognitif, falsafah dan budaya bagi menghuraikan mengapa sesuatu objek dipilih dalam metafora tersebut. Ada tiga langkah yang diambil sebelum makna sebenar dicapai, iaitu, makna harfiah, kognitif dan inkuisitif. Dapatan kajian membuktikan bahawa objek "mata", "kuku" dan "ulam-ulaman" membawa makna yang sangat bertepatan dengan maksud yang hendak disampaikan. Objek "mata" berkaitan dengan isyarat perasaan, objek "kuku" berkaitan dengan keakraban dan "ulam-ulaman" dengan kasih sayang dapat dibuktikan melalui data yang dipilih. Huraian ini seterusnya digabungkan dengan ilmu lain seperti perubatan bagi simpulan bahasa dan khasiat pemakanan bagi pantun. Jelasnya, kajian bersifat multidisiplin ini mampu menghuraikan metafora Melayu secara saintifik dan meyakinkan.
Kata kunci: Objek, metafora, pantun, akal budi Melayu, falsafah, budaya
