Tahap Harga Diri Kumpulan Berpendapatan Rendah yang Berhutang dan Peranan Organisasi dalam Sektor Perladangan
(Self-Esteem Levels of the Indebted Lower-Income Group and the Role of Organizations in the Plantation Sector)
Abstrak
Harga diri merupakan salah satu keperluan dalam diri manusia. Banyak kajian mendapati tindakan seseorang sedikit sebanyak dipengaruhi tahap harga dirinya. Menurut Teori Maslow (1954) sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi, seseorang individu akan mengalami identiti gagal, personaliti tidak seimbang, kurang yakin diri dan cepat putus asa, dan kadang-kadang boleh menjurus kepada masalah social dan jenayah. Segelintir kumpulan menganggap wang bukan sahaja instrumen untuk memenuhi keperluan asas bahkan juga untuk keperluan peringkat tinggi seperti harga diri. Disebabkan faktor kemiskinan dan kekurangan sumber pendapatan, individu yang berpendapatan rendah dilihat sebagai kurang berjaya, malu untuk bersosial dengan orang lain. Kumpulan ini juga sering dikaitkan dengan hutang untuk memenuhi keperluan asas mereka. Namun begitu, senario semasa mendapati hutang tidak lagi dikaitkan dengan tujuan untuk membeli keperluan asas tetapi untuk keperluan yang lebih tinggi seperti berhutang untuk meningkatkan harga diri. Terdapat kajian yang menemui adanya hubungan antara sokongan organisasi terhadap harga diri dan mencadangkan supaya organisasi perlu mengembangkan sistem penghargaan yang berfokus kepada harga diri seseorang. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk melihat tahap harga diri komuniti Muslim B40 yang berhutang menilai tahap sokongan organisasi dalam meningkatkan harga diri Muslim B40 yang berhutang. Responden dalam kajian ini terdiri daripada peneroka dan pekerja am Muslim yang tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah yang bermastautin dan bekerja di Felda. Hasil kajian mendapati tahap harga diri mereka dan peranan majikan adalah pada tahap sederhana. Implikasinya, kajian ini dapat membantu pihak pengurusan Felda, majikan dan pihak tertentu di Malaysia untuk merangka pelan pembangunan insan bagi memperkasakan lagi harga diri mereka.
Kata kunci: Harga diri, hutang, berpendapatan rendah, peranan majikan
