Pandangan S. Othman Kelantan dan U-Wei Haji Shaari terhadap Masyarakat Melayu Kelantan dan Patani: Adaptasi daripada Novel Juara kepada Filem Jogho
(Views of S. Othman Kelantan and U-Wei Haji Shaari of Kelantan and Patani Malay Community: The Study of Adaptation Process from Novel Juara to Film Jogho)
Abstrak
Makalah ini mengupas idea dan pandangan peribadi yang terdapat dalam novel Juara karya S. Othman Kelantan dan meneliti cara pengarah filem Jogho, iaitu U-Wei Haji Shaari, menanggapi idea asal novel tersebut. Makalah ini memberikan fokus kepada tiga kaedah adaptasi, melibatkan adaptasi daripada novel kepada filem, yang dicadangkan oleh Klein dan Parker, iaitu, a) terjemahan dasar yang mengekalkan kesetiaan terhadap karya asal; b) tafsiran semula dengan mengekalkan struktur asas naratif atau dalam keadaan tertentu meleraikan karya asal; dan c) menjadikan karya asal hanya sebagai bahan mentah untuk menghasilkan karya baharu. Kajian mendapati bahawa U-Wei Haji Shaari telah melakukan interpretasi semula terhadap idea asal novel di samping mengekalkan struktur asas naratif novel tersebut. Namun, kedua-dua buah karya membawa amanat dan pesanan besar kepada masyarakat Melayu Kelantan dan Melayu Patani sebagai satu rumpun bangsa yang berkongsi bahasa, budaya dan agama yang sama, tetapi dipisahkan oleh sempadan politik.
Kata kunci: adaptasi, kaedah adaptasi, Klein dan Parker, tafsiran semula, Melayu Kelantan, dan Melayu Patani
