Dimensi Ruang Kosmos Tarian Dabus: Amalan Penyucian dan Penyembuhan
(The Cosmological Dimension of the Dabus Dance: Purification and Healing Practices)
Abstrak
Makalah ini meneliti kepelbagaian dimensi ruang kosmos atau alam semesta dalam persembahan tarian dabus dari sudut fizikal dan metafizik. Kajian dilakukan menggunakan kaedah kualitatif melalui aplikasi strategi etnografi yang tertumpu pada hubungan antara tingkah laku dengan budaya. Secara kosmologinya, tarian dabus dilihat sebagai suatu kosmos yang kewujudannya terbentuk oleh tindakan pemain dan segala unsur teater yang membentuk persembahan. Dimensi ruang kosmos persembahan ditafsir secara fizikal dan metafizik melalui perlakuan dan kepercayaan pemain terhadap fenomena amalan penyucian dan penyembuhan. Berdasarkan kepercayaan pemain, sajian perlu disediakan dan ritual diadakan sebagai tanda hormat dan meminta izin daripada makhluk spiritual bagi membantu proses penyembuhan. Oleh sebab itu, penyembuhan dikategorikan sebagai faith healing, iaitu merujuk amalan ritual yang berhubung dengan kepercayaan agama. Penyembuhan berlaku ekoran kepercayaan terhadap kuasa spiritual yang campur tangan (intervention) dalam proses penyembuhan. Pengalaman "bawah sedar" yang dialami oleh penari sewaktu persembahan menjadi tanda psikologi dan tingkah laku pemain telah diambil alih oleh kuasa makhluk halus. Oleh itu, fokus utama makalah ini berkaitan dengan hubungan ruang kosmos dengan konsep penyucian dan penyembuhan yang menyebabkan terjadinya persembahan tarian dabus.
Kata kunci: tarian dabus, fizikal, kosmos, metafizik, bawah sedar, penyembuhan berdasarkan kepercayaan agama
