Perbezaan Ejaan Rumi Kata Pinjaman Bahasa Arab dalam Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia
(Differences in The Romanized Spelling of Arabic Loanwords in Bahasa Melayu in Malaysia and Indonesia)
Abstrak
Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia masing-masing merupakan bahasa rasmi Malaysia dan Indonesia. Kedua-duanya berasaskan bahasa Melayu. Suatu sistem ejaan Rumi bersama telah diterima pakai bagi kedua-dua bahasa ini sejak tahun 1972.Walau bagaimanapun, ejaan Rumi bagi kata pinjaman daripada bahasa Arab masih terdapat perbezaan dalam kedua-dua bahasa ini. Perbezaan ini mungkin berpunca daripada konvensi tulisan Jawi bagi mengeja kata pinjaman bahasa Arab yang tidak dapat ditranskripsikan secara tepat dalam tulisan Rumi. Pengekalan konvensi tulisan Jawi lebih ketara dalam ejaan Rumi bahasa Melayu di Malaysia jika dibandingkan dengan bahasa Indonesia. Perbandingan menunjukkan bahawa penutur bahasa Melayu di Malaysia bersikap lebih positif terhadap tradisi Islam, malah lebih cenderung menerimanya berbanding dengan penutur bahasa Indonesia.
Kata kunci: ejaan Rumi bersama, tulisan Jawi, bahasa Melayu, bahasa Indonesia, ortografi
