Pemodenan dan Pembentukan Keluarga Melayu di Bandar
(The Modernization and Formation of Urban Malay Families)
Abstrak
Makalah ini akan menguji kesesuaian hipotesis dalam teori pemodenan keluarga (yang menggabungkan teori evolusi dan teori fungsional) terhadap masyarakat Melayu bandar di Malaysia dalam aspek cara memilih pasangan, umur berkahwin, jarak umur pasangan, dan bentuk keluarga. Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah kajian kepustakaan dan kerja lapangan. Rumah pangsa 17 tingkat yang terletak di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dipilih sebagai tempat kajian. Data primer adalah dengan berdasarkan soal selidik dan temu bual terhadap 47 buah keluarga Melayu berpendapatan rendah yang menetap di rumah pangsa tersebut. Meskipun kajian mendapati pembentukan keluarga Melayu di bandar mengulangi pengalaman negara Barat yang mengalami perubahan mendadak kesan perindustrian dan perbandaran, namun peranan dan pengaruh nilai dan norma tradisi masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun masih dipertahankan oleh komuniti Melayu di bandar.
Kata kunci: teori pemodenan keluarga, perindustrian dan perbandaran, pembentukan keluarga Melayu, perubahan
