Daripada Cetak Kepada Digital: Rekonstruksi Cerita Rakyat di Malaysia
(From Oral to Digital: The Reconstruction of Folk Tales in Malaysia)
Abstrak
Sesuai dengan perkembangan teknologi, cerita rakyat berkembang daripada bentuk lisan kepada bentuk cetak dan seterusnya memasuki ruang digital untuk memperkaya gaya serta persembahannya bagi memenuhi pelbagai keperluan. Walau bagaimanapun, banyak pakar cerita rakyat di Barat khususnya pada abad ke-20 berasa bimbang pengenalan teknologi moden akan mematikan tradisi sastera rakyat. Namun begitu, sesetengahnya pula menjangkakan sastera rakyat akan lebih maju dan berkembang dalam ruang siber. Bagaimanakah keadaannya bagi sastera rakyat Melayu di Malaysia? Kajian ini bertujuan untuk meneliti sejauh mana transformasi penyampaian cerita rakyat di Malaysia sesuai dengan perkembangan teknologi dan pengenalan Dasar Industri Kreatif Negara. Kajian ini khususnya bertujuan untuk menyelidik judul cerita rakyat yang diterbitkan melalui media tersebut dan menganalisis format yang digunakan oleh para penerbit tempatan. Hasil kajian mendapati ekosistem cerita rakyat di Malaysia masih belum berkembang sealiran dengan perkembangan teknologi. Oleh itu, usaha yang lebih amat diperlukan untuk memastikan sastera rakyat sebagai khazanah kebangsaan ini dapat dipertahankan dan dimartabatkan.
Kata kunci: Cerita rakyat, buku digital replika, buku digital interaktif, ePub, APK, PDF
