Struktur Seni Bina Melayu "Tangga" dalam Peribahasa Melayu: Analisis Semantik Inkuisitif
(Malay Architecture Structure "Staircase" In Malay Proverbs: A Semantic Inquisitive Analysis)
Abstrak
Reka bentuk seni bina Melayu banyak memanfaatkan unsur alam dan dibina berdasarkan falsafah pemikiran masyarakat Melayu. Hubungan antara seni bina dengan pemikiran tergambar pada peribahasa yang diungkapkan oleh masyarakat Melayu. Artikel ini meneliti peribahasa Melayu yang berkaitan dengan struktur seni bina rumah Melayu dari sudut ilmu semantik. Data peribahasa dijana daripada laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (http://www.prpm.dbp.gov.my/). Sebanyak 63 peribahasa yang berkaitan dengan pelbagai objek alam benda seni bina berjaya dikumpulkan. Namun, kajian ini hanya menganalisis objek alam benda "tangga" sahaja kerana peratusan kehadirannya paling tinggi dalam peribahasa, di samping fungsinya yang unik. Analisis kajian menerapkan pendekatan Metafora Rantaian Utama Makhluk (RUM) dan Metonimi spesifik yang melambangkan generik bagi menghuraikan pemetaan kognitif daripada domain sumber yang konkrit kepada domain sasaran yang abstrak. Selanjutnya, pendekatan semantik inkuisitif pula menjawab kewajaran pemilihan objek sehingga mencerminkan akal budi Melayu. Dapatan kajian menunjukkan wujudnya ciri keperibadian manusia yang ditonjolkan melalui objek alam benda "tangga", iaitu darjat, sikap realistik, dan maruah. Kepentingan tangga dari pelbagai aspek, seperti pembinaan, bahan, komponen dan budaya masyarakat berjaya mencerminkan akal budi Melayu. Kajian yang bersifat rentas disiplin ini berjaya memerikan suatu inovasi terhadap kajian linguistik dan seni bina Melayu.
Kata kunci: semantik inkuisitif, struktur seni bina, alam benda, peribahasa
