Klasifikasi Alat Repeh Berperimping Zaman Paleolitik di Malaysia
(Classification of Palaeolithic Flake Tools in Malaysia)
Abstrak
Pada zaman paleolitik, iaitu Zaman Batu Lama, alat yang berfungsi seperti pisau diperbuat daripada repehan batu dan dijadikan sebagai alat repeh. Alat repeh ini dibahagikan kepada dua jenis berdasarkan mata tepinya, iaitu mata tepinya yang digunakan secara langsung dan yang dirapikan terlebih dahulu. Alat repeh yang dirapikan mata tepi ini dikenali sebagai alat repeh berperimping atau alat repeh pengikis. Alat ini juga dinamakan mengikut fungsinya kerana tidak mempunyai bentuknya khusus dan dikenali juga sebagai amorfus. Oleh itu, analisis klasifikasi perlu dijalankan untuk membantu memahami teknologi yang dihasilkan dan hubungannya dengan fungsi yang secara tidak langsung memberikan gambaran tentang strategi adaptasi masyarakat paleolitik pada Zaman Batu Lama. Kajian ini juga akan menjelaskan cara eksploitasi persekitaran masyarakat nomadik untuk menghasilkan alat batu. Malah, kajian klasifikasi ini juga dapat mendedahkan organisasi teknologi dan strategi adaptasi masyarakat paleolitik di Malaysia.
Kata kunci: alat repeh, amorfus, klasifikasi, teknologi, berperimping
