Tema Keklasikan dalam Bentuk Seni Bina Melayu: Prinsip daripada Golongan Bangsawan
(Themes of Classicality in the Malay Architectural Form: Principles from an Aristocratic Realm)
Abstrak
Istilah "klasik" dalam hasil penulisan, wacana seni bina, pengajian budaya, serta urbanisme Asia Tenggara dan Melayu pada zaman dahulu biasanya mempunyai kaitan dengan idea bentuk yang "suci" dan juga berkaitan dengan kosa kata tradisional, serta binaan kayu dan gubahan. Artikel ini mencabar definisi semasa dengan mengaitkan istilah ini dengan golongan bangsawan, serta mengemukakan pendapat bahawa istana dan rumah agam dunia Melayu merupakan manifestasi prinsip, unsur dan tema yang umumnya dianggap sebagai "klasik". Unsur keklasikan termasuklah kepekaan terhadap simetri atau kesekataan, keseimbangan bentuk, hiasan yang sederhana dan seni reka yang tidak sarat. Artikel ini meneliti ciri buka depan dan dongakan istana lama, serta mendedahkan tema yang tersembunyi sebagai cerminan ciri keklasikan bangsawan yang agak dominan dan semakin meningkat seiring dengan konteks evolusi sosiopolitik Melayu, seperti yang tercermin dalam reka bentuk beberapa istana dan rumah agam golongan bangsawan pada akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20an. Pengaruh seni bina penjajah Barat menghasilkan bentuk kacukan pada ketika sosiobudaya Melayu mengalami perubahan akibat perkembangan ekonomi dan teknologi baharu. Istana yang dibina pada zaman ini menunjukkan perubahan dalam seni bina tempatan dari segi teknologi tetapi pada dasarnya masih mengekalkan unsur bentuk seni bina Melayu asli. Istilah "klasik" Melayu menggambarkan ciri "keklasikan" dan "kehalusan" gaya, serta mencerminkan unsur bentuk yang tidak lapuk dek zaman. Evolusi bentuk klasik ini adakalanya "diganggu" oleh unsur kolonial yang digunakan bersama-sama ciri bentuk seni bina Melayu asli. Pengaruh ini sedikit sebanyak menghakis unsur Melayu asli tetapi tidak menjejaskannya secara menyeluruh. Unsur Melayu yang mampu bertahan walaupun menghadapi arus kemodenan akibat penjajahan Barat merupakan unsur utama seni bina dan ciri urbanisme Melayu. Unsur inilah yang dibincangkan dalam artikel ini yang berasal daripada tunjang seni bina Melayu yang sama dari segi asal usul dan salasilah, meskipun menyerapkan kata-kata kolonial.
Kata kunci: gaya Melayu klasik, kewilayahan, kekacukan, peralihan seni bina, seni bina Asia Tenggara
