Susur Galur Amalan Berhutang dalam Kalangan Masyarakat Melayu
(The Historical Background of Monetary Borrowing Practices among the Malays)
Abstrak
Artikel ini menghuraikan gelagat dan punca masyarakat Melayu suka berhutang yang diamalkan sejak zaman sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan hingga kini. Kajian yang dijalankan bersifat kualitatif dan huraian dibuat berdasarkan kajian kepustakaan dengan meneliti kajian lepas, catatan sejarah dan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2015. Hasil penelitian menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada masa dahulu berhutang bukan hanya untuk memenuhi keperluan hidup bagi golongan miskin, tetapi juga untuk bermewah-mewah bagi golongan berada yang bertujuan meningkatkan status sosial mereka. Amalan berhutang masyarakat dahulu memberikan kesan buruk kepada generasi kini kerana ribuan hektar tanah orang Melayu tergadai kepada golongan Chettiar, ekoran kegagalan membayar balik hutang kerana kadar bunganya yang tinggi dan menindas penghutang. Amalan berhutang yang bukan bertujuan memenuhi keperluan hidup masih lagi diamalkan hingga kini.
Kata kunci: masyarakat Melayu, hutang, komuniti Chettiar, tanah orang Melayu, tergadai
