Penggunaan Teknik Ganjaran dan Keberkesanannya bagi Menarik Minat Murid dalam Pembelajaran Bahasa Melayu semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.16(2)no7Abstrak
Kajian ini dilaksanakan untuk melihat jenis teknik ganjaran yang telah digunakan oleh guru dan keberkesanannya bagi menarik minat murid dalam pembelajaran bahasa Melayu semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan. Seramai 90 orang guru bahasa Melayu sekolah rendah terlibat sebagai responden kajian. Kesemua guru bahasa Melayu mengajar di dua buah daerah di Sarawak. Kajian berbentuk kuantitatif ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan. Instrumen soal selidik yang diedarkan melalui Google Form telah digunakan untuk mengumpulkan data. Dapatan dihuraikan secara deskriptif bagi melaporkan frekuensi, peratusan, min, dan sisihan piawai. Analisis dapatan menunjukkan bahawa guru-guru bahasa Melayu sekolah rendah banyak menggunakan teknik ganjaran fizikal dan sosial ketika mengajar secara PdPR berdasarkan nilai min yang berada pada tahap tinggi. Dari segi tindak balas murid terhadap ganjaran yang diterima, didapati guru-guru bahasa Melayu banyak menggunakan tindak balas emosi, kognitif dan sosial yang dapat menarik minat murid belajar bahasa Melayu secara PdPR. Demikian juga pemberian ganjaran memberikan kesan kepada minat dan pencapaian murid dalam pembelajaran bahasa Melayu secara PdPR. Implikasi kajian ialah teknik ganjaran dapat meningkatkan minat murid untuk belajar walaupun pembelajaran berlaku secara dalam talian. Kesimpulannya, guru-guru bahasa Melayu boleh menjadikan teknik ganjaran sebagai satu kaedah PdP dalam talian yang berkesan untuk mengajar murid-murid sekolah ketika belajar di rumah.
Teks penuh: PDF
