Perang sebagai Penyelesaian Konflik dalam Syair Perang Menteng
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.16(1)no3Abstrak
Kajian ini membincangkan perang sebagai penyelesaian konflik dalam Syair Perang Menteng. Objektif kajian ini, adalah untuk menjelaskan konflik antara Sultan Mahmud Badaruddin II dan Muntighe berhasil dileraikan melalui peperangan sahaja. Tidak dinafikan terdapat beberapa kaedah lain yang telah digunakan bagi mengelakkan berlakunya peperangan, tetapi kaedah tersebut gagal mencapai kata sepakat. Bagi memperdalam perbincangan, teori peperangan yang telah diperkenalkan oleh Sun Tzu dalam bukunya The Art of War (2002) didapati memenuhi objektif kajian ini. Sun Tzu telah menyenaraikan 13 strategi peperangan, iaitu penilaian, melancarkan pertempuran, merencanakan serangan, posisi strategik, keunggulan strategik, kelemahan dan kekuatan konflik bersenjata, menyesuaikan diri terhadap sembilan kemungkinan, mengerahkan pasukan, medan, sembilan jenis medan, serangan pembakaran dan menggunakan mata-mata. Berdasarkan analisis yang telah dilakukan terhadap Syair Perang Menteng didapati Sultan Mahmud Badaruddin II telah mengaplikasikan strategi sebegini dalam peperangan menentang Belanda. Selain strategi berdasarkan pandangan Sun Tzu, Sultan Mahmud Badaruddin II juga memiliki keunggulan tersendiri dalam usaha mengatur strategi peperangan. Antara keunggulan strategi yang dimiliki oleh Sultan Mahmud Badaruddin II ialah meletakkan Allah dan agama Islam sebagai landasan utama peperangan menentang Belanda serta mendapat sokongan dan ketaatan daripada masyarakat Palembang. Keunggulan strategi peperangan ini telah berjaya memberi kemenangan kepada pihak Palembang dalam pertempuran ini dan konflik antara kedua-dua belah pihak ini telah berjaya diselesaikan melalui kaedah peperangan.
Teks penuh: PDF
