Adat Perkahwinan Masyarakat Jawi Peranakan India Muslim di Pulau Pinang
(Wedding Customs of the Jawi Peranakan Indian-Muslim Community of Penang)
Abstrak
Kajian ini dijalankan bagi meneliti pengaruh agama Hindu dalam amalan adat istiadat perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Seterusnya mengenal pasti amalan yang bertentangan dengan agama Islam dalam upacara perkahwinan masyarakat tersebut. Metode yang digunakan ialah kaedah perpustakaan, kajian lapangan dan temu bual seramai 20 responden yang terdiri daripada lelaki dan perempuan di kawasan sekitar Georgetown, Pulau Pinang khususnya di Jalan Masjid Kapitan Keling. Hasil kajian mendapati bahawa majoriti masyarakat Jawi Peranakan masih mengamalkan adat Istiadat nenek moyang mereka dengan mencampuradukkannya dengan adat Melayu setempat terutamanya dalam aspek upacara perkahwinan. Mereka percaya bahawa mengikut adat istiadat dan pantang larang yang diwarisi akan memberi kesan besar terhadap keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga. Keadaan ini menunjukkan bahawa masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang pada hari ini masih lagi mengamalkan adat istiadat yang banyak dipengaruhi agama Hindu dan sesetengah amalan yang dilakukan bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu, diharap kajian ini dapat memberi kefahaman mengenai adat istiadat perkahwinan yang berlandaskan ajaran agama Islam dan yang tidak sepatutnya diikuti.
Kata kunci: Adat perkahwinan, Jawi Peranakan Pulau Pinang, pengaruh Hindu, syariat Islam
