Sejarah Terjemahan Karya Melayu di China
(The History of Translation of Malay Masterworks in China)
Abstrak
Makalah ini membincangkan sejarah perkembangan terjemahan karya Melayu di China. Buku terjemahan karya Melayu yang diterbitkan di China dikenal pasti dan kemudian dianalisis dengan memanfaatkan pendekatan sejarah terjemahan Pym (1998) dan kaedah analisis bibliometrik. Dalam tempoh 1985-2013, sebanyak tujuh buah karya Melayu daripada pelbagai genre sastera telah diterjemahkan dan diterbitkan di negara China. Walaupun bilangannya tidak banyak, namun jumlah cetakannya mencecah 20 000 naskhah. Angka ini menunjukkan bahawa sastera Melayu masih relevan dalam pasaran China. Industri terjemahan karya Melayu di China tidak hanya bergantung pada usaha sama daripada agensi di Malaysia, malah syarikat penerbitan China sendiri turut mengambil langkah proaktif. Perancangan yang lebih teratur dan usaha sama antara Malaysia-China yang lebih giat amat penting untuk menghasilkan sinergi yang lebih berkesan dalam pelan pengantarabangsaan bahasa dan budaya Melayu melalui perterjemahan buku di China.
Kata kunci: terjemahan bahasa Melayu-bahasa Cina, karya sastera Melayu, sejarah terjemahan
