Pengkalan Bujang sebagai Pusat Perdagangan Kedah Tua: Analisis Berdasarkan Seramik China
(Pengkalan Bujang as the Entrepot of Ancient Kedah: An Analysis based on Chinese Ceramics)
Abstrak
Sebagai sebuah pusat perdagangan, Kedah Tua yang wujud dari kurun ke-2 hingga ke-14 Masihi memiliki beberapa buah penempatan berbeza yang berkembang sebagai pusat pertukaran komoditi, dan salah satunya ialah Pengkalan Bujang, kesan penemuan candi dan arca bertarikh kurun ke-7 hingga ke-14 Masihi. Walau bagaimanapun, tafsiran tentang kedudukan dan kronologinya sebagai sebuah pusat perdagangan dapat dibuktikan menerusi penemuan seramik asing, iaitu seramik China. Sejak tahun 1940-an lagi, sejumlah besar seramik China ditemui ketika ekskavasi di Pengkalan Bujang, terutamanya di tapak candi no.19, 20, 21-22 dan 23. Kini, kebanyakan seramik tersebut tersimpan di stor Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Artikel ini merupakan hasil proses tinjauan awal dan dokumentasi terhadap seramik tersebut. Analisis dari segi tipologi dan taburan kronologi seramik tersebut memberikan gambaran umum tentang perkembangan Pengkalan Bujang dari kurun ke-9 hingga ke-14 Masihi.
Kata kunci: Pengkalan Bujang, seramik China, Kedah Tua, Dinasti Sung, Dinasti Yuan
