Kelangsungan Makyung di Kelantan: Cabaran di Bawah Pentadbiran Negeri
(Survival of Makyung in Kelantan: The Challenge under the Federal Centric Environment)
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.13(2)no4Abstrak
Makyung merupakan salah satu persembahan tradisional yang telah memperkenalkan identiti kebudayaan kebangsaan Melayu Malaysia di persada antarabangsa. Makyung diiktiraf sebagai salah satu karya lisan kemanusiaan pada tahun 2001 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana persembahan ini mempunyai nilai budaya yang signifikan oleh Konvensyen Antarabangsa Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO (Konvensyen 2003 UNESCO). Walau bagaimanapun, undang-undang Negeri Kelantan telah dengan jelas melarang mana-mana hiburan yang mengandungi unsur terlarang mengikut prinsip Islam bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan (1998). Kini, persembahan makyung dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu walaupun wujudnya hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melarang makyung sepenuhnya. Artikel ini memberikan tumpuan terhadap kuasa bertindih antara Kerajaan Persekutuan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri berkenaan dengan pemuliharaan makyung di Negeri Kelantan. Pada peringkat Persekutuan, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (NHA) sebagai undang-undang sedia ada melindungi warisan kebudayaan tidak ketara yang diilhamkan oleh Konvesyen Antarabangsa Warisan Tidak Ketara UNESCO. Walau bagaimanapun, NHA sebagai undang-undang am tidak mencukupi untuk memberi perlindungan komprehensif kepada makyung sejak perkara warisan jatuh di bawah senarai bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Negeri juga mempunyai kuasa perundangan untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengan perkara ini. Dalam usaha untuk menangani konflik ini, terdapat keperluan untuk menyemak peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Warisan Kebangsaan 2005, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 1998 dan menilai sejauh mana sistem perundangan di Malaysia mampu memelihara seterusnya memulihara makyung sebagai sebuah seni budaya warisan Kebangsaan. Kajian ini mengkaji konflik kuasa antara daripada sistem persekutuan negara dan bidang kuasa negeri yang kuasanya dijamin oleh Perlembagaan. Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif, iaitu kajian semula kepustakawanan dijalankan. Artikel ini menegaskan bahawa kedua-dua kuasa perlukan pengharmonian untuk pemeliharaan Warisan.
Kata kunci: Makyung, Persekutuan, Negeri, warisan kebudayaan tidak ketara, undang-undang
