Ilustrasi Seni Visual Jin dalam Manuskrip Pelaga Lembu
(Visual Illustrations of Jinn in the Pelaga Lembu Manuscript)
Abstrak
Artikel ini membincangkan ilustrasi visual makhluk halus, iaitu jin dalam naskhah manuskrip Alam Melayu, Pelaga Lembu (MS1649) dari Kelantan-Patani. Manuskrip ini dikarang sekitar 1860an-1920an, merupakan manuskrip tunggal yang menerangkan perihal adat dan tatacara penyediaan lembu pelaga sempena temasya laga lembu. Kandungan manuskrip mengandungi unsur teks dan ilustrasi jin mendominasi hampir setiap halaman manuskrip dengan pelbagai tujuan dan peranan. Reka bentuk ilustrasi jin yang dipamerkan merupakan aktiviti pengarang-pelukis dalam kalangan "orang pandai" seperti bomoh, dukun dan pawang merekodkan sesuatu peraturan berkaitan pengurusan lembu pelaga melalui bidang seni visual. Sifat dan ciri-ciri ilustrasi jin diterjemah dan berkomunikasi dalam medium seni simbolik melalui gaya kesenian rakyat. Proses pembentukan imej memperlihatkan kepelbagaian pengaruh kepercayaan masyarakat setempat yang telah bercampur baur suku dan etnik. Reka bentuk ilustrasi jin menjadi wahana seni visual mendasari sistem kepercayaan dalam amalan kebudayaan Alam Melayu. Lantas, hal ini membuktikan bahawa pengarang-pelukis ialah seniman pada zamannya dan kesenian visual Alam Melayu berkembang melalui kegiatan tulis dan lukis.
Kata kunci: Ilustrasi visual, jin, manuskrip Alam Melayu, kesenian
