Konsep Pendinding dalam Akidah Islam: Kajian Kes terhadap Usahawan Melayu Kelantan
(Shielding against Black Magic in the Islamic Faith: A Case Study on Kelantanese Entrepreneurs)
Abstrak
Makalah ini meneliti konsep pendinding dan amalannya dalam kalangan usahawan Melayu Kelantan bagi menghindari gejala sihir yang digunakan oleh pesaing dalam perniagaan. Pendinding yang diamalkan hendaklah memohon perlindungan daripada Allah SWT dan selaras dengan kehendak dan syariat Islam. Kajian dijalankan terhadap sejumlah usahawan Melayu Kelantan kerana orang Melayu Kelantan, khususnya wanita, banyak yang terlibat dalam dunia perniagaan. Kajian dilaksanakan menggunakan dua kaedah, iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Kaedah kajian kepustakaan digunakan untuk membina kerangka konsep yang berkaitan dengan pendinding dalam akidah Islam, manakala kajian lapangan dilakukan dalam bentuk temu bual dengan usahawan Melayu Kelantan yang terpilih. Hasil kajian menunjukkan bahawa segelintir usahawan Melayu Kelantan masih lagi tidak mengamalkan konsep pendinding yang sebenar menurut perspektif akidah Islam kerana terlibat dengan kepercayaan yang mengandungi unsur syirik dan khurafat.
Kata kunci: pendinding, usahawan Melayu Kelantan, akidah Islam, perniagaan
