Keupayaan Penduduk Melayu Kampung Bandar Menikmati Kualiti Hidup di Bandar
(The Ability of Malay Inhabitants in Urban Villages to Enjoy a Quality Life in Urban Areas)
Abstrak
Perkembangan pesat di bandar menyebabkan penduduk Melayu kampung bandar secara sukarela atau terpaksa berhadapan dengan persekitaran yang berubah-ubah dan kompleks. Kajian ini merungkaikan keupayaan penduduk Melayu kampung bandar mencapai status kualiti hidup menerusi aspek ketersediaan diri, sosial dan adaptasi persekitaran. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan melibatkan sebanyak 509 orang penduduk daripada 21 buah kampung bandar di sekitar bandar Kangar, Alor Setar dan George Town sebagai responden kajian. Hasil kajian mendapati aspek ketersediaan diri individu, sosial dan adaptasi persekitaran telah memberikan jaminan kehidupan yang baik kepada penduduk kampung bandar dan meningkatkan keupayaan menangkis tekanan pembangunan di persekitarannya. Perbandingan antara kawasan kampung bandar pula mendapati penduduk Melayu kampung bandar di Kangar mempunyai keupayaan yang tinggi (62.1%), diikuti Alor Setar (61.9%) dan George Town (61.8%) untuk mencapai status kualiti hidup yang baik. Status kualiti hidup responden di ketiga-tiga bandar adalah seimbang dengan perbezaan relatifnya sekitar 0.1% hingga 0.3% dan berada pada tahap keupayaan sederhana tinggi. Perkembangan bandar di Malaysia memberikan keupayaan yang seimbang kepada penduduk kampung bandar untuk beradaptasi dengan perubahan persekitaran bandar.
Kata kunci: Keupayaan, kualiti hidup, kampung bandar, Melayu
