Ujaran Benci, Ujaran Tidak Sopan dan Akal Budi Melayu
DOI:
https://doi.org/10.37052/jb25(1)no3Abstrak
Istilah ujaran benci sangat sinonim dengan media sosial. Mana-mana ujaran yang disebar dengan tujuan menghasut, mempromosikan atau mewajarkan perasaan benci antara kaum, xenofobia atau apa-apa sahaja ungkapan berbaur benci dikategorikan sebagai ujaran benci. Ujaran benci dapat mencetuskan kemudaratan kepada individu dan masyarakat. Kajian ujaran benci masih tidak banyak dilakukan dan masih mempunyai ruang untuk diselidiki. Kajian ini bertujuan untuk mengupas sama ada hantaran dalam media sosial di Malaysia mencapai tahap ujaran benci atau terhenti setakat ujaran tidak sopan. Seterusnya, pengkaji menghuraikan hubungan antara ujaran ini dengan akal budi Melayu. Data ujaran benci diambil daripada pengguna Instagram dalam julat penggunaan tiga bulan. Analisis berdasarkan Teori Relevans, khususnya Rangka Rujuk Silang (RRS), diikuti oleh maklumat berkonteks menyerlahkan keseriusan ujaran benci ini. Kata dan frasa, seperti “walaun”, “madanon”, dan “type C” kerap muncul. Meskipun tidak secara ketara menggambarkan kebencian, kata dan frasa tersebut memang membawa makna tersebut setelah dikupas, tetapi darjah keseriusannya lebih kepada ujaran tidak sopan. Ujaran ini kemudiannya dipetakan kepada metafora yang berkaitan dengan deria mulut dan telinga. Contohnya, “banyak mulut”, dan “masuk telinga kanan keluar telinga kiri” menunjukkan kemudaratan daripada ujaran benci jika tidak dikawal. Kajian ini membuka ruang kepada kajian komunikasi antara manusia dalam media sosial dan hubungan dengan akal budi Melayu. Kajian ini juga membuktikan bahawa hubungan antara ujaran benci dengan deria telah wujud sejak dahulu lagi dan hubungannya masih relevan pada hari ini.
Kata kunci: Ujaran benci, metafora, media sosial, ujaran tidak sopan, Instagram, akal budi Melayu
Teks penuh: PDF
Rujukan
Diterbitkan
Terbitan
Bahagian
Lesen
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.
