Penggunaan Strategi Berorientasikan Sasaran untuk Menterjemahkan Teks Sastera Kanak-kanak: Cerita Pendek Enid Blyton
DOI:
https://doi.org/10.37052/jb24(1)no3Abstrak
Unsur didaktik, iaitu unsur pengajaran ialah ciri utama dalam cerita kanak-kanak. Bermula daripada tradisi penyampaian cerita dalam bentuk lisan, cerita kanak-kanak digunakan untuk menyampaikan pelbagai pengajaran, terutamanya yang berkaitan dengan nilai dan moral yang seiring dengan norma masyarakat. Cerita ini disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan sesuai dengan tahap pengetahuan dan kebolehan kanak-kanak yang masih berkembang. Sehubungan dengan itu, apabila cerita kanak-kanak diterjemahkan daripada bahasa asing kepada bahasa sasaran, perkara ini juga perlu dipertimbangkan oleh penterjemah. Elemen asing yang tidak dikenali boleh membantutkan minat dan pemahaman kanak-kanak. Walaupun strategi terjemahan berorientasikan sumber mempunyai kekuatan dan manfaatnya yang tersendiri, beberapa sarjana dalam bidang penterjemahan dan kesusasteraan kanak-kanak berpendapat bahawa strategi terjemahan berorientasikan sasaran dapat menghasilkan terjemahan yang lebih dekat dan mudah dikenali oleh pembaca kanak-kanak. Oleh itu, kajian ini meneliti penterjemahan elemen khusus budaya (CSI) dalam siri cerita pendek Enid Blyton berdasarkan pengelasan kaedah terjemahan oleh Newmark (1988). Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penterjemah cerita pendek Enid Blyton menggunakan strategi berorientasikan sasaran untuk menterjemahkan siri ini dalam bahasa Melayu. Antara prosedur terjemahan utama yang digunakan menerusi strategi ini termasuklah prosedur adaptasi dan pengguguran. Menerusi penggunaan strategi berorientasikan sumber, terjemahan yang dihasilkan menampilkan cerita yang berlatarbelakangkan suasana masyarakat setempat dan menepati norma masyarakat, khususnya bagi bangsa Melayu yang beragama Islam.
Kata kunci: Strategi terjemahan, prosedur terjemahan, sastera kanak-kanak, terjemahan bahasa Inggeris-Melayu, Enid Blyton, unsur budaya
Teks penuh: PDF
Rujukan
Muat turun
Diterbitkan
Terbitan
Bahagian
Lesen
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.
