Isu morfofonologi bahasa Melayu: menangani kepelbagaian varian dalam korpus
Abstrak
Makalah ini meneliti aspek morfofonologi yang melibatkan alternasi morfem, khususnya yang bersifat rencam dan tidak seragam dalam pembentukan kata terbitan bahasa Melayu. Alternasi sebegini ditandai dengan kehadiran varian-varian yang berbeza tetapi masih membawa maksud yang sama. Misalnya, kata pasif diketengahkan apabila diaktifkan akan menghasilkan tiga bentuk kata yang berbeza, iaitu mengketengahkan, mengetengahkan, dan mengenengahkan. Berdasar-kan data korpus DBP, ketiga-tiga varian ini digunakan secara meluas oleh pengguna bahasa Melayu. Kebanyakan kajian lepas berkecen-derungan memilih satu varian sahaja sebagai bentuk yang tepat dan standard, manakala varian-varian yang lain itu dianggap sebagai bentuk yang salah dan tidak gramatis. Pendekatan sebegini bersifat preskriptif dan bertentang dengan ilmu linguistik moden. Sekiranya linguistik itu ialah ilmu yang bersifat deskriptif, maka teori linguistik yang berpada seharusnya mampu menangani kesemua varian ini, tambahan pula jika alternasi yang berlaku itu mempunyai motivasi fonologi dan bertepatan dengan sistem nahu bahasa berkenaan. Berbeza daripada pendekatan lampau, kertas ini cuba menangani fenomena kepelbagaian varian dalam kata terbitan bahasa Melayu secara deskriptif dengan meng-gunakan kerangka teori fonologi autosegmental. Kajian ini mendapati kesemua varian itu dijana oleh rumus-rumus fonologi yang asas yang mendasari sistem nahu bahasa Melayu.
Rujukan
Muat turun
Diterbitkan
Terbitan
Bahagian
Lesen
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.
