Pemerolehan morfologi dan sintaksis dalam kalangan kanak-kanak Melayu pada Peringkat Menjelang Tatabahasa Dewasa

Pengarang

Abstrak

Berdasarkan Teori Mentalis sebagai konsep, kajian ini akan cuba meneliti perkembangan penghasilan cakapan dalam kalangan kanak-kanak Melayu pada Peringkat Menjelang Tatabahasa Dewasa. Teori Genetik-Kognitif dijadikan kerangka teori ini. Teori ini diperkenalkan oleh Chomsky (1959) yang telah secara radikal mengubah perkem-bangan psikolinguistik. Lantaran, wujudlah satu teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa yang disimpulkan daripada teori linguistiknya (Teori Transformasi Generatif). Kajian ini dijalankan terhadap kanak-kanak di sekitar kawasan Sri Serdang. Rasional untuk memilih tempat ini adalah kerana kanak-kanak di kawasan ini berasal daripada keluarga yang bertutur dalam bahasa Melayu, dan kurang dipengaruhi oleh dialek bahasa Melayu kedaerahan dan kenegerian. Melalui kaedah pemer-hatian, penyelidik membuat pemerhatian pemerolehan bahasa secara spontan, iaitu ketika kanak-kanak tersebut berinteraksi dengan orang dewasa. Di samping itu, penyelidik juga berbual-bual dan bersoal jawab dengan kanak-kanak tersebut. Bagi merangsang kanak-kanak berinteraksi dengan penyelidik dan kawan-kawannya, bahan-bahan konkrit seperti gambar dan Benda-benda di persekitaran kehidupan kanak-kanak digunakan. Hasil kajian menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti secara kolaboratif atau bekerjasama dalam interaksi bahasa antara kanak-kanak dengan penjaga dapat menyediakan konteks yang paling sesuai untuk pembelajaran bahasa. Melalui aktiviti tersebut, seseorang kanak-kanak dapat menghayati unsur bahasa dan rumus tatabahasa yang terdapat dalam bahasa ibundanya. Selain itu, kanak-kanak juga dapat menguasai unsur-unsur bahasa dalam masyarakat dan budaya bahasa tersebut. Tegasnya, kanak-kanak juga dapat mempelajari cara untuk memilih tutur kata serta pertuturan yang sesuai dengan khalayak, tajuk, dan konteks perbualannya.

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2006-12-04