Persamaan dan kemiripan bahasa: perbandingan kosa kata dasar 10 bahasa Austronesia di Sarawak
Abstrak
Makalah ini berfokus kepada hasil kajian terhadap satu proses linguistik yang disebut kaedah perbandingan yang dilaksanakan dalam disiplin ilmu yang disebut linguistik sejarah dan perbandingan. Ungkapan linguistik sejarah dan perbandingan terbentuk daripada dua istilah, iaitu linguistik sejarah dan linguistik perbandingan. Linguistik sejarah berfungsi meneliti perkembangan unsur dalaman dan luaran bahasa sejak awal kemunculan bahasa berkenaan sehingga suatu waktu tertentu. Fungsi linguistik perbandingan pula adalah untuk membuat perbandingan antara dua atau lebih daripada dua dialek atau bahasa. Dialek atau bahasa yang digunakan dalam linguistik perbandingan merupakan dialek atau bahasa semasa, yakni yang wujud pada hari ini. Dialek atau bahasa semasa digunakan kerana diandaikan kedua-duanya wujud hasil perkembangan bahasa yang terdahulu. Dengan kata lain, terdapat bahasa yang lebih tua yang dianggap memencarkan dialek atau bahasa yang lebih muda. Waiau bagaimanapun, disebabkan perkembangan masa, dialek atau bahasa yang lebih muda mungkin berubah atau tidak sama lagi dengan bahasa induk yang menjadi pemencar itu. Oleh sebab itu, selain untuk mendapatkan gambaran tentang bahasa induk, perbandingan secara khusus digunakan untuk meneliti perubahan yang berlaku terhadap dialek atau bahasa yang dipencarkan daripada bahasa induk. Oleh ha! yang demikian, bidang perbandingan ini dianggap sebagai bidang yang mempelajari data-data daripada suatu bahasa atau lebih, sekurang-kurangnya dalam dua periode. Data-data daripada suatu bahasa dari dua periode atau lebih itu dibahdingkan secara cermat untuk memperoleh kaedah-kaedah perubahan yang terjadi dalam bahasa itu (Gorys, 1984,22). Dengan menggunakan gabungan kedua-dua pendekatan linguistik sejarah dan perbandingan yang dihuraikan, ahli bahasa berusaha menjangkau lebih jauh ke dalam kehidupan bahasa pada zaman prasejarah. Usaha ini dapat diteliti menerusi empat fokus kajian ilmu ini. Pertama, disiplin ini berusaha menelusuri sejarah sesuatu bahasa dan mengungkapkan perkaitan bahasa berkenaan dengan bahasa lain pada zaman prasejarah. Kedua, disiplin ini mencuba memulihkan, membina semula atau merekonstruksi bentuk bahasa induk yang dianggap memencarkan bahasa-bahasa sekerabat yang wujud sekarang. Ketiga, disiplin ini selanjutnya berfungsi membuat pengelompokan (subgrouping) atau pengelasan bahasa, yakni mengumpulkan bahasa-bahasa ke dalam kelompok bahasa berkenaan. Fokus keempat disiplin linguistik sejarah dan perbandingan ialah meramalkan pusat (atau pusatpusat) penyebaran bahasa (atau bahasa-bahasa) induk dan menelusuri perpindahan penutur bahasa induk berkenaan dari pusat (atau pusat-pusat) penyebaran berkenaan. Tumpuan kajian ini ialah kepada fokus yang pertama, yakni menelusuri sejarah sesuatu bahasa dan mengungkapkan perkaitan bahasa berkenaan dengan bahasa lain pada zaman prasejarah. Sebagaimana yang dinyatakan dalam linguistik sejarah dan perbandingan, pengungkapan perkaitan antara bahasa dilakukan menerusi kaedah perbandingan. Untuk tujuan ini makalah ini akan membandingkan kosa kata 10 bahasa Austronesia yang dipilih, mengenal pasti persamaan dan perbezaan antara kosa kata bahasa-bahasa berkenaan dan meninjau proses perubahan umum yang dapat dikesan daripada perbandingan yang dijalankan.
Rujukan
Muat turun
Diterbitkan
Terbitan
Bahagian
Lesen
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.
