Impak konotasi budaya terhadap leksis: satu kajian semantik berasaskan korpus, ke atas perkataan perempuan dan wanita
Abstrak
Penggunaan bahasa yang berulang-ulang membentuk gugusan makna yang menggambarkan makna tipikal atau lazim, yang terdapat pada butir-butir leksis atau ekspresi bahasa. Dalam erti kata lain, ini ialah makna yang sentiasa diekspresikan oleh penutur dalam penggunaan bahasa. Makna yang diwarisi akibat penggunaan berulang-ulang menimbulkan konotasi budaya yang dapat mencerminkan realiti sosial penutur. Oleh hal yang demikian, kajian terhadap leksis yang berulang-ulang penting dalam kajian bahasa dan ideologi, dan boleh memberikan bukti empirikal tentang cara budaya boleh terkod dalam leksis. Makalah ini membincangkan satu kajian yang menganalisis konotasi budaya perkataan perempuan dan wanita dengan meneliti wacana, yakni nahu berulang-ulang yang terdapat pada kedua-dua perkataan tersebut. Perkataan perempuan dan wanita merupakan kata kunci penting bahasa Melayu yang sinonim pada tahap denotasi tetapi dianggap mempunyai reputasi yang berbeza disebabkan konotasi yang diwarisi. Kajian ini menggunakan bukti empirikal untuk menyiasat hal ini dengan meneliti prosodi semantik dan konotasi budaya yang diwarisi oleh perkataan tersebut. Ini dicapai melalui satu analisis kolokasi berasaskan korpus berkomputer terhadap wacana kedua-dua perkataan. Makalah ini melaporkan analisis tersebut dan meneliti nuansa dan konotasi budaya yang terdapat pada kedua-dua perkataan dan berusaha menghubungkan dapatan kajian dengan dunia sebenar, iaitu perubahan sosial dan budaya penutur.
Rujukan
Muat turun
Diterbitkan
Terbitan
Bahagian
Lesen
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.
