Konsonan Beraspirasi dalam Dialek Melayu Semenanjung Malaysia: Tinjauan di Baling, Kedah

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/jb24(2)no1

Abstrak

Aspirasi ialah ciri linguistik yang asing dalam dialek Malayik di Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat kekecualian bagi pernyataan ini kerana sebahagian kecil daripada dialek tempatan yang dituturkan di bahagian utara Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan sempadan Malaysia–Thailand, ternyata memperlihatkan ciri aspirasi dalam sistem fonologinya. Antara dialek Malayik Semenanjung Malaysia yang mendapat ciri tersebut termasuklah dialek Melayu Baling. Dengan berdasarkan gelintaran terhadap kajian terdahulu, faktor utama yang mewujudkan ciri aspirasi dalam dialek Melayu Baling ialah kontak linguistik. Oleh itu, dialek sejatinya tidak mempunyai aspirasi. Contohnya, dialek Melayu Baling menerima ciri tersebut setelah berkontak dengan bahasa lain, iaitu bahasa Siam. Dalam makalah ini, kontak yang mewujudkan ciri aspirasi dibincangkan dengan terperincinya menerusi paparan latar sejarah dan sosial. Selain kontak, makalah ini menampilkan perbincangan yang mengaitkan penyebaran aspirasi secara meluas dan tekal dalam dialek Melayu Baling dengan mekanisme inovasi dalaman linguistik, terutamanya yang melibatkan proses penyingkatan suku kata dan analogi. Perbincangan makalah ini diakhiri dengan jangkaan tentang ketekalan ciri aspirasi dalam dialek Melayu Baling yang mungkin terhakis akibat dua faktor. Pertama, persempadanan geopolitik yang membataskan kontak dengan bahasa Siam. Kedua, intensiti kontak yang tinggi dengan dialek Melayu Kedah ekoran persempadanan geopolitik yang berkemungkinan menghadirkan semula konsonan hentian tidak bersuara tanpa sebarang elemen hembusan sebagai penanda ciri aspirasi. Dapatan kajian ini menegaskan keperluan penggabungan unsur dalaman dan luaran linguistik bagi menjelaskan fenomena dialek agar sebarang teori yang terbit daripadanya lebih berpada dan bertepatan dengan kenyataan penyebaran dialek secara geografi dan histori.

Kata kunci: Konsonan beraspirasi, aspirasi, Malayik, dialek Melayu Baling, kontak, analogi

Teks PenuhPDF

Biografi Pengarang

  • Mohd Tarmizi Hasrah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah, Malaysia

    Jabatan Bahasa Melayu Kontemporari Lecturer

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2024-11-27