Pelaksanaan Elemen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Seni Bahasa Kurikulum Standard Sekolah Rendah

Pengarang

Abstrak

Makalah ini akan membahaskan kemahiran membaca yang akan dikaitkan dengan elemen seni bahasa dan mula dilaksanakan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) secara berperingkat bermula tahun 2011. KSSR memberi tumpuan pada empat kemahiran, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul dalam usaha memperkasakan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Bagi menjadikan mata pelajaran ini kian menarik dan berdaya saing, kurikulum Bahasa Melayu yang terdiri daripada suatu elemen baharu telah diperkenalkan dalam kurikulum huraian sukatan pelajaran Bahasa Melayu KSSR, iaitu seni bahasa, sementara "didik hibur" menjadi salah satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Seni bahasa ini merujuk keupayaan murid untuk memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran yang menyeronokkan secara didik hibur. Maka kajian yang dilakukan ini adalah untuk mengenal pasti keyakinan guru dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa sepanjang pelaksanaan dan mengukur sejauh mana guru dapat menerapkan elemen dan teks sastera dalam meningkatkan keberkesanan kemahiran pembacaan murid. Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan deskriptif dengan menggunakan borang soal selidik serta temu bual bagi mendapatkan maklum balas daripada responden. Responden terdiri daripada guru Bahasa Melayu sekolah rendah. Ramalan hasil kajian ini ialah guru mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa serta dapat merangsang kemahiran membaca murid. Perkara yang turut diberi perhatian juga adalah penggunaan teks berunsurkan sastera turut dapat membina keyakinan dan keupayaan penghayatan yang lebih baik.

Kata kunci: elemen sastera, seni bahasa, kemahiran membaca, didik hibur, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Biografi Pengarang

  • Abdul Rasid Jamian, Universiti Putra Malaysia

    Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan Fakulti Pengajian Pendidikan

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2013-12-02