Fungsi dan Estetika Pantun dalam Filem Gurindam Jiwa (1965): Satu Kajian Berdasarkan Teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Haji Salleh

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml38(1)no5

Abstrak

Pantun merupakan sebuah puisi Melayu tradisional yang terkenal dalam masyarakat Melayu khususnya. Pantun merupakan ciptaan asli masyarakat Melayu. Lazimnya, pantun sering digunakan dalam pelbagai konteks termasuklah dalam acara adat resam, perayaan atau dalam pengungkapan perasaan. Selain itu, pantun juga dijadikan sebagai alat komunikasi sesama masyarakat kerana kehalusan dan keindahan bahasanya. Pantun juga berperanan penting dalam melestarikan budaya dan bahasa Melayu. Satu daripada medium pelestarian pantun adalah  menerusi penggunaan pantun dalam filem Melayu. Hal ini kerana pantun dalam filem memainkan peranan penting dalam pelestarian budaya dan bahasa Melayu serta keindahannya yang dapat ditemui dalam filem, terutamanya dalam filem Melayu klasik yang masih relevan dan ditonton sehingga hari ini. Walau bagaimanapun, masih terdapat jurang dalam kajian tentang pantun dalam filem, seterusnya mendorong kepada kajian ini dilakukan khususnya tentang fungsi dan estetika pantun dalam filem Melayu. Sehubungan dengan itu, makalah ini menganalisis keindahan pantun dan fungsinya dalam filem Gurindam Jiwa (1965) lakonan Nordin Ahmad yang diarahkan oleh M. Amin. Makalah ini menggunakan kaedah kepustakaan dan analisis pantun dalam dialog filem berdasarkan teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Haji Salleh. Hasil kajian ini memperlihatkan pelbagai fungsi pantun dalam filem ini termasuklah sebagai manifestasi hubungan alam dengan manusia, pengungkapan emosi dan perasaan, bentuk hiburan serta bentuk sindiran dan kritikan sosial. Oleh itu, makalah ini membuktikan bahawa pantun dalam filem memiliki fungsi dan estetikanya yang tersendiri terutamanya dalam filem Melayu. Hal ini secara jelas memperlihatkan elemen pantun dalam filem Melayu sebagai satu daripada bentuk keindahan bahasa dan kelestarian budaya. 

Teks penuh: PDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2025-06-26