Pandangan dan Pemikiran Pengarang dalam Syair Kisah Negeri Brunei
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml38(1)no3Abstrak
Manuskrip Melayu klasik banyak tersimpan di institusi penyimpanan manuskrip dalam dan luar negeri. Namun begitu, masih banyak manuskrip klasik yang mengandungi pemikiran, pengetahuan, akal budi dan budaya orang Melayu pada masa lalu yang belum dikaji dan disebarkan kepada khalayak. Sebuah manuskrip Melayu klasik Brunei telah ditemukan di Pusat Pengkajian Borneo (PenBorneo), Pusat Sejarah Brunei, iaitu Syair Kisah Negeri Brunei. Manuskrip ini masih belum mendapat perhatian pengkaji dan khalayak dalam meneroka pandangan serta pemikiran yang terkandung dalam naskhah ini. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji sejauh mana Syair Kisah Negeri Brunei ini menggambarkan pandangan dan pemikiran masyarakat Brunei dengan memberikan tumpuan terhadap kepemimpinan Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang diceritakan dalam syair ini. Kajian ini menggunakan pendekatan hermeneutik dan juga ciri-ciri kepimpinan yang diutarakan oleh Haji Mahmud Saedon (1995). Kajian ini mendapati bahawa teks Syair Kisah Negeri Brunei mengandungi pandangan dan pemikiran terhadap kepemimpinan Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, iaitu Sultan Brunei ke-28 berkaitan aspek pendidikan, keamanan dan kesejahteraan negara, pengukuhan syiar Islam, belas ihsan terhadap orang tua serta adat istiadat diraja Brunei. Kesemua pandangan dan pemikiran ini sedikit sebanyak meningkatkan imej tamadun masyarakat Melayu Brunei khususnya, dan bangsa Melayu itu sendiri umumnya.
Teks penuh: PDF
Ketua Editor,