Pendekatan Za'ba dalam Terjemahan Anak Raja dengan Anak Papa
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml37(1)no1Abstrak
Seorang tokoh yang penting dalam sejarah terjemahan di Malaysia ialah Zainal Abidin bin Ahmad atau Za'ba. Beliau merupakan penterjemah Anak Raja dengan Anak Papa (1958), iaitu novel terjemahan yang pertama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka selepas penubuhannya pada tahun 1956. Ketokohan Za'ba sebagai penterjemah, walau bagaimanapun, jarang dibincangkan. Disebabkan hal ini, makalah ini memberikan tumpuan pada Za'ba, khususnya untuk membincangkan cara Za'ba menangani terjemahan Anak Raja dengan Anak Papa yang dihasilkan berdasarkan novel bahasa Inggeris, The Prince and the Pauper. Untuk mencapai objektif ini, perbandingan dilakukan antara teks terjemahan bertajuk Anak Raja dengan Anak Papa (1958) dengan teks sumbernya, The Prince and the Pauper (1882). Perubahan yang berlaku dalam teks terjemahan ditentukan bersandarkan kerangka teknik penyesuaian oleh Nida (1964). Analisis menunjukkan bahawa Za'ba cuba menyesuaikan terjemahannya dengan pembaca sasarannya melalui penggunaan penambahan dan pindaan. Melalui pendekatan yang berorientasikan pembaca sasaran ini, makna yang disampaikan menjadi lebih jelas dan teks yang terhasil menjadi lebih mesra pembaca. Dengan mengambil kira kepentingan karya terjemahan ini dalam konteks sejarah penerbitan di Malaysia, kajian ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha untuk mendokumentasikan sejarah terjemahan di Malaysia, khususnya yang melibatkan terjemahan ke dalam bahasa Melayu pada zaman awal kemerdekaan.
Teks penuh: PDF
Ketua Editor,