The Malay Tale of the Pig King (2015): sebuah Adaptasi daripada Hikayat Raja Babi (1775)
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml36(2)no2Abstrak
Hikayat Raja Babi merupakan sebuah manuskrip Melayu lama yang ditulis oleh seorang pedagang bernama Usup bin Abdul Kadir dari Semarang ketika sedang berlayar ke Palembang. Manuskrip tulisan tangan ini ditulis dalam Jawi dan merupakan antara koleksi yang tersimpan di The British Library. Manuskrip ini juga telah didigitalkan dan boleh diakses secara dalam talian. Pada tahun 2015, sebuah syarikat penerbitan Malaysia, iaitu Buku Fixi telah menerbitkan semula Hikayat Raja Babi yang telah ditransliterasikan. Pada tahun 2020, kisah dari Hikayat Raja Babi telah diolah semula dan diterbitkan dalam bentuk buku cerita berilustrasi oleh Matahari Books. Makalah ini membincangkan adaptasi Hikayat Raja Babi sehingga terhasilnya versi The Malay Tale of the Pig King. Analisis kajian dibuat berlandaskan kepada teori adaptasi Hutcheon. Kajian ini mendapati bahawa adaptasi untuk menghasilkan The Malay Tale of the Pig King adalah melalui proses meringkaskan dan menyesuaikan penceritaan; menjadikan kisah ini sesuai untuk pembaca daripada golongan kanak-kanak. Karya adaptasi masih lagi mengekalkan struktur cerita asal dengan mempersembahkan peristiwa penting (signifikan) seperti mana yang terdapat dalam penceritaan asal. Sebagai tambahan, ilustrasi yang indah pada keseluruhan halaman buku, termasuk pada kulit buku menjadikan buku The Malay Tale of the Pig King menarik dari segi visualnya.
Ketua Editor,