Interaksi Kerajaan Johor dengan Eropah: Suatu Analisis Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml36(1)no2Abstrak
Kerajaan Johor merupakan sebuah kerajaan Melayu yang memiliki sejarah yang panjang. Sejak ditubuhkan pada tahun 1528, kerajaan Johor direkodkan telah diperintah oleh tiga wangsa yang berbeza, iaitu Sultan, Bendahara dan Temenggung yang menyaksikan setiap peralihan kuasa tersebut dilatari dengan peristiwa sejarahnya yang kompleks. Meskipun perjalanan kerajaan yang berkesinambungan dari Kesultanan Melayu Melaka ini tidak sunyi dari hiruk-pikuk pergeseran politik, namun kerajaan Johor pada hakikatnya mampu bertahan lama dalam menongkah arus masa sehingga akhirnya berjaya menempatkan diri dalam era pemodenan sewaktu di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Sehubungan dengan itu, makalah ini bertujuan mengenal pasti interaksi kerajaan Johor semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar dengan Eropah sehingga kerajaan Johor digelar kerajaan moden. Kajian yang berbentuk kualitatif ini akan memanfaatkan naskhah historiografi Melayu yang berjudul Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai data kajian. Analisis kajian dengan menggunakan teori bentuk interaksi dan lingkungan sosial antara tamadun menemukan interaksi kerajaan Johor dengan Eropah berlaku dalam konteks perkongsian yang membabitkan sosiobudaya dan teknologi serta kerjasama dari sudut politik. Rentetan hasil kajian tersebut, maka dapatlah disimpulkan bahawa Sultan Abu Bakar merupakan sosok pemerintah yang bijaksana dalam menjalinkan interaksi dengan Eropah sehingga melayakkan baginda digelar sebagai Bapa Pemodenan Johor.
Teks penuh: PDF
Ketua Editor,