Peranan Karya Sastera sebagai Naratif Sejarah Alternatif: Antara Dendam dengan Perjuangan karya Ali Jusoh
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml35(2)no3Abstrak
Sastera sejarah memberikan jiwa dan menghidupkan aksi sejarah yang wujud dalamnya. Karya sastera sejarah tanah air mampu menyediakan sejarah alternatif yang memperkukuhkan pemahaman tentang perjuangan tokoh Melayu zaman silam. Novel Antara Dendam dengan Perjuangan (2007) karya Ali Jusoh menyediakan sejarah alternatif yang membawa semangat serta makna kekinian yang mampu mengangkat karya ini sebagai bacaan yang sarat dengan dokumen sejarah perjuangan bangsa Melayu menentang kuasa penjajah. Artikel ini bertujuan menganalisis aspek kejiwaan yang berjaya diserlahkan melalui watak-watak yang dibangunkan dalam karya ini, seterusnya menterjemahkan kembali peristiwa bersejarah. Peristiwa kebangkitan pahlawan Pahang yang terakam dalam novel Antara Dendam dengan Perjuangan tidak sekadar “bercerita” semata-mata, sebaliknya pendekatan melalui perspektif Pensejarahan Baharu mampu membawa khalayak untuk lebih memahami inti pati sejarah secara lebih mendalam. Novel ini tidak hanya menyadurkan kisah sejarah silam; namun sarat dengan nada dan gema suara-suara yang dinafikan. Sehubungan dengan itu, artikel ini mendekati novel Antara Dendam dengan Perjuangan daripada perspektif Pensejarahan Baharu, khususnya yang disarankan oleh Greenblat (1989) yang menegaskan perkaitan antara teks dengan konteks latar dan masa sesebuah penulisan. Selain itu, artikel ini juga mengaplikasi idea Hashim (2003) yang menjelaskan bahawa Pensejarahan Baharu menyumbang kepada dekonstruksi sejarah, khususnya bagi masyarakat pascakolonial. Artikel ini menumpukan perhatian terhadap beberapa peristiwa yang dapat mendedahkan aspek kejiwaan watak-watak dalam teks terpilih. Rungkaian aspek ini berdasarkan perspektif Pensejarahan Baharu mampu menjelaskan bahawa sejarah dan sastera mempunyai pertalian yang saling melengkapi. Peristiwa lampau terpilih yang dihidupkan kembali melalui watak-watak dalam novel tersebut diteliti untuk diberikan makna dan interpretasi kekinian berdasarkan perspektif Pensejarahan Baharu.
Teks penuh: PDF
Ketua Editor,