Uslub Tasybih dalam Gaya Bahasa Kiasan Melayu Menerusi Novel Suriati dari Perspektif Pendekatan Seni

Pengarang

  • Kamariah Kamarudin Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia
  • Nadia Ishak Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml35(1)no4

Abstrak

Salah satu elemen yang menghidupkan susur galur penceritaan sesebuah karya ialah uslub. Uslub atau gaya bahasa merupakan nadi dalam sesebuah takah pengkaryaan. Ketidaksesuaian dan kekaburan penggunaan gaya bahasa penulisan akan mengakibatkan susur galur penceritaan sesebuah karya terjejas. Sehubungan dengan itu, dalam mengkaji sama ada sesebuah teks yang berunsur Islam, uslub sesebuah karya perlu seiring dengan teks yang dihasilkan. Analisis uslub perlu diberi perhatian bagi memahami mesej sesebuah teks. Maka, kajian ini menganalisis uslub tasybih iaitu dalam konteks bahasa kiasan Melayu yang terdapat dalam novel Suriati (1993) nukilan Azizi Haji Abdullah daripada perspektif Pendekatan Seni menerusi Pengkaedahan Keagamaan yang terkandung dalam teori Pengkaedahan Melayu (1989). Kajian ini menggunakan teori Pengkaedahan Melayu sebagai kerangka analisis. Penganalisisan karya ini berfokus kepada hubungan antara uslub tasybih dalam konteks bahasa kiasan Melayu dengan karya sastera berunsur Islam dalam novel Suriati. Sementelahan, fokus kajian adalah untuk memperlihatkan sama ada aspek uslub tasybih dalam konteks bahasa kiasan Melayu yang diterapkan adalah selari dengan karya novel yang dikaji dan memperlihatkan aspek keindahan berunsur Islam, seterusnya menepati pendekatan yang diterapkan dalam kajian ini iaitu Pendekatan Seni. Hasil kajian menemukan bahawa aspek uslub tasybih dalam konteks bahasa kiasan Melayu selari dan mempunyai hubungan secara langsung dalam sesebuah karya sastera berunsur Islam, seterusnya menyerlahkan ciri-ciri Pendekatan Seni, iaitu memberi penekanan kepada aspek-aspek keindahan yang berlandaskan nilai estetika Islam. Oleh yang demikian, aspek uslub tasybih, iaitu dalam konteks bahasa kiasan Melayu perlu mengikut landasannya dan bersesuaian dengan tuntutan Islam, iaitu mencapai kesempurnaan, kesopanan dan ketertiban dalam setiap amalan yang dilakukan oleh umat Islam.

Rujukan

Diterbitkan

2022-06-04