Wacana Budaya dan Seni dalam Puisi Melayu Moden oleh Penyair Negeri Kelantan
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml35(1)no5Abstrak
Kelantan ialah antara negeri yang melahirkan ramai sasterawan dengan sebahagian mereka telah membina kejayaan di peringkat kebangsaan. Selain dikenali sebagai Serambi Mekah kerana tradisi keilmuan yang diwarisi sejak ratusan tahun dahulu, Kelantan juga sering dirujuk sebagai ‘lubuk puisi’ kerana telah lahir ramai penyair di negeri ini. Seiring dengan itu, wujud tanggapan bahawa penyair Kelantan cenderung mengungkapkan perasaan dan pemikiran berhubung dengan budaya dan seni warisan tradisi yang terkenal di negeri Kelantan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti aspek pendokumentasian dan pewacanaan budaya dan seni dalam karya mereka. Kedua, untuk menganalisis bentuk-bentuk dokumentasi budaya dan seni dalam puisi penyair Kelantan dengan menggunakan pendekatan konsep budaya oleh beberapa orang sarjana terkenal. Bagi tujuan tersebut, kajian ini akan menggunakan data berbentuk puisi oleh penyair terkenal Kelantan seperti A. Aziz Deraman, Azmi Yusoff, Ezani Haji Daud, Mazli Husma, Wanrazuhar, Rosli K.Mataridan Rahimidin Zahari. Hasil kajian ini menunjukkan banyak aspek budaya dan seni didokumentasikan dalam puisi oleh penyair Kelantan, antaranya termasuk aspek bahasa, penggunaan dialek, kepentingan tulisan Jawi, permainan tradisi dan seni wayang kulit. Dapatan ini menunjukkan bahawa penyair Kelantan menampakkan kecenderungan signifikan dalam mendokumentasikan aspek budaya dan seni dalam puisi, sekaligus membuktikan karya mereka merupakan antara dokumen sosiobudaya penting untuk kajian lanjut dalam bidang budaya dan seni di Kelantan.
Ketua Editor,