Analisis terhadap Penghujahan Al-Raniri dalam Kitab Fathul Mubin ala al-Mulhidin terhadap Golongan Wujudiah

(An Analysis of al-Raniri's Arguments Against the Wujudiyyahin his Fathul-Mubin ala al-Mulhidin)

Pengarang

  • Mohamad Nasrin Mohamad Nasir Institut Alam dan Tamadun melayu, UKM

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml.33(1)no2

Abstrak

Artikel ini menganalisis secara kritis penghujahan yang diberikan oleh al-Raniri dalam kitab Fathul Mubin ala al-Mulhidin. Kitab Fathul Mubin ialah sebuah kitab yang telah dinukilkan oleh al- Raniri setelah beliau kembali ke Ranir, Gujerat. Dalam konteks ini, al-Raniri telah menulis kitab ini setelah beliau tewas di tangan Syeikh Saiful Rijal di hadapan Sultanah Safiatuddin Shah yang merupakan Sultanah Acheh yang pertama selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani. Al-Raniri mengkritik pandangan wujudiah mulhidah berdasarkan pembacaannya terhadap beberapa buah kitab tulisan Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Shamsuddin Sumatrani. Kitab Fathul Mubin merupakan kitab yang sering dilupakan apabila membicarakan percanggahan tasawuf al-Raniri, dan yang sebelum daripadanya. Kebanyakan pengkaji melihat kitab al-Raniri yang lain dalam perdebatan ini. Pengkajian manuskrip Melayu pada hari ini telah menyedarkan sarjana akan kewujudan kitab ini dan sebagai hasilnya dapat dilihat pandangan al-Raniri tentang perdebatan tersebut yang lebih terperinci daripada kitabnya Jawahir al-Ulum fi Kasfhul Ma'lum. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa ahli akademik perlu melihat kepada fakta yang sebenar melalui kaca mata yang baharu seperti yang ditemui dalam kitab Fathul Mubin ini. Walaupun demikian fakta sejarah hanyalah merupakan suatu tafsiran yang bersifat subjektif. Sebagai ahli akademik yang sering menekankan aspek objektiviti, perlu menjadi seorang penyiasat atau penyelidik yang sistematik dan analitikal. Menariknya penghujahan al-Raniri disini tidak bersifat mistikal atau dalam kata lain, beliau tidak menggunakan hujah daripada perjalanan spiritualnya sebaliknya bergantung pada pandangan ulama dalam bidang pengajian al-Quran dan hadis. Pandangan mengenai perdebatan ini telah membentuk persepsi ramai mengenai tasawuf dan perkembangannya di Nusantara. Oleh itu, memahaminya secara objektif adalah amat diperlukan agar persepsi yang terhasil berasaskan fakta dan penghujahan yang jelas.

Kata kunci: al-Raniri, wujudiah, manuskrip Melayu, sejarah, sufi, tasawuf, Nusantara

Biografi Pengarang

  • Mohamad Nasrin Mohamad Nasir, Institut Alam dan Tamadun melayu, UKM
    Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2020-06-09