Abu Nawas Versi Rakyat Sabah: Intertekstualiti dan Kreativiti

(Abu Nawas Sabah Folk Version: Intertextuality and Creativity)

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml.28(1)no1

Abstrak

Cerita Abu Nawas ialah cerita jenaka popular di alam Melayu yang berasal dari Arab-Parsi. Beberapa sumber tulisan melaporkan bahawa cerita ini telah disebarkan ke alam Melayu antara kurun ke-13 hingga kurun ke-15 melalui Hikayat Seribu Satu Malam dan Hikayat Abu Nawas. Dalam kerja lapangan yang dikendalikan di beberapa tempat di Sabah baru-baru ini, sejumlah tiga belas buah cerita Abu Nawas, yang tersebar secara lisan dalam kalangan informan pelbagai etnik peribumi Sabah telah dikumpul. Setelah diteliti, sesetengah daripada cerita Abu Nawas versi rakyat Sabah didapati mirip dengan cerita Abu Nawas yang diterbitkan dalam Hikayat Abu Nawas manakala sesetengah yang lain didapati jauh berbeza. Tulisan ini bertujuan membuat perbandingan antara motif cerita Abu Nawas versi rakyat Sabah dengan motif cerita Abu Nawas dalam Hikayat Abu Nawas berasaskan prinsip intertekstualiti. Hasil perbandingan intertekstual yang dilakukan mendapati bahawa, pada mulanya penduduk peribumi Sabah telah didedahkan dengan cerita Abu Nawas. Terdapat sesetengah cerita Abu Nawas kemudiannya telah diolah semula berasaskan unsur tempatan. Akhir sekali, pencerita peribumi Sabah telah mencipta sejumlah cerita Abu Nawas, yang motifnya berbeza sama sekali daripada motif cerita Abu Nawas asal. Cerita Abu Nawas versi rakyat Sabah seperti ini didapati kaya dengan motif dan unsur tempatan. Penghasilan cerita Abu Nawas versi rakyat Sabah turut menonjolkan kearifan dan kreativiti yang ada pada pencerita tempatan Sabah.

Kata kunci: Abu Nawas, cerita jenaka, intertekstualitii, perbandingan motif, kearifan tempatan, kreativiti

Biografi Pengarang

  • Low Kok On, Universiti Malaysia Sabah
    Borneo Heritage Research Unit, Faculty of Humanities, Arts and Heritage

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2015-06-01