Unsur Patriotisme dalam Sejarah Salasilah Raja Bugis: Analisis terhadap Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas

Bugis; kesusasteraan Melayu; ketatanegaraan; patriotisme; Riau-Lingga; sejarah Melayu.

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml37(2)no2

Abstrak

Sastera adab ketatanegaraan merupakan sebahagian daripada sejarah kesusasteraan Melayu tradisional yang menampilkan pedoman atau nasihat kepada pemerintah tentang cara mentadbir negara dengan baik. Tradisi penulisan karya genre ini lazimnya memuatkan kisah sejarah berunsurkan didaktik yang disokong dengan petikan ayat al-Quran, hadith atau kata-kata ulama tertentu bagi meninggalkan kesan di hati pembaca, iaitu raja atau para pembesar. Pada awal abad ke-20, tradisi ini diteruskan oleh Raja Ali Kelana melalui penghasilan Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas, namun menampilkan ciri-ciri tambahan dalam konteks sejarah, iaitu dengan memuatkan salasilah keturunan diraja Bugis dalam Kesultanan Riau-Lingga. Sehubungan dengan itu, kajian ini berfokus untuk menganalisis unsur sejarah dalam Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas dengan tumpuan terarah kepada salasilah keturunan diraja Bugis. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang mengaplikasikan metode analisis kandungan dengan pendekatan induktif. Hasil kajian mendapati bahawa karya ini menampilkan unsur patriotisme, iaitu punca kuasa Raja-raja Bugis dalam Kesultanan Riau-Lingga, jurai keturunan Raja-raja Bugis yang mewarisi jawatan Yang Dipertuan Muda dan kisah Opu Bugis sebagai patriot. Perkara tersebut merupakan refleksi pengarang untuk membangkitkan semangat patriotisme berikutan suasana sosiopolitik Kesultanan Riau-Lingga yang tertekan akibat penjajahan kuasa barat.

Teks penuhPDF

Biografi Pengarang

  • Annuar Ramadhon Kasa, Universiti Malaya

    Pelajar Pascasiswazah, Jabatan Sejarah & Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

  • Mohd Anuar Ramli, Universiti Malaya

    Prof. Madya, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Rujukan

Diterbitkan

2024-11-14