Terjemahan Puisi Kanak-kanak dalam Bahasa Melayu: Bentuk Teks Sasaran dan Teknik Penyesuaian
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml36(2)no4Abstrak
Terjemahan sastera kanak-kanak, terutamanya yang memberikan fokus pada adaptasi, telah menarik perhatian ramai sarjana dalam bidang pengajian terjemahan. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan sehingga kini dalam konteks Malaysia adalah terhad kepada terjemahan sastera kanak-kanak dalam bentuk prosa sahaja. Dengan mengambil kira kekurangan kajian yang berfokus pada sastera kanak-kanak dalam bentuk puisi dan kepentingan adaptasi dalam terjemahan rentas budaya, makalah ini meneliti cara puisi kanak-kanak (nursery rhymes) diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu, dengan menggunakan puisi kanak-kanak yang terkandung dalam buku Haji’s Book of Malayan Nursery Rhymes (1939) sebagai sumber data. Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti bentuk teks sasaran yang terhasil dalam terjemahan puisi kanak-kanak daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu, dan seterusnya membincangkan penyesuaian yang dilakukan pada teks berbentuk adaptasi untuk pembaca sasaran yang baharu. Untuk mencapai objektif yang pertama, kajian ini memanfaatkan kerangka bentuk teks sasaran yang diutarakan oleh Low (2013). Untuk objektif kedua pula, penelitian dilakukan bersandarkan pada kerangka teknik penyesuaian oleh Nida (1964) dan jenis parateks oleh Pellatt (2013). Kajian ini mendapati bahawa kebanyakan hasil terjemahan puisi kanak-kanak adalah dalam bentuk adaptasi. Penyesuaian pada teks berbentuk adaptasi ini kebanyakannya adalah dalam bentuk pindaan pada nama manusia, nama tempat serta nama tumbuh-tumbuhan dan makanan. Penyesuaian juga dilakukan dari segi parateks, sama ada dalam bentuk luaran atau dalaman, dan dalam bentuk bukan verbal dan verbal. Kajian ini menunjukkan dengan jelas bagaimana aspek teks dapat dimanipulasi dan aspek parateks dapat dipersembahkan untuk membentuk teks yang menonjolkan satu imej yang tertentu kepada pembaca sasaran.
Ketua Editor,