Menyirat Makna dalam Manisnya Rambutan Kampung dari Perspektif Kod Simbolik Roland Barthes

(Finding Literal Meaning in Manisnya Rambutan Kampungfrom the Perspective of Roland Barthes's Symbolic Code)

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml33(2)No3

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tafsiran makna dalam karya Zahari Affandi, iaitu Manisnya Rambutan Kampung. Aspek permasalahan kajian ialah pentafsiran makna tersirat yang dihadirkan oleh penulis novel kajian dengan menggunakan perlambangan simbol dalam penulisannya. Dalam kajian ini objektif yang ingin dicapai adalah untuk mengenal pasti makna tersirat Manisnya Rambutan Kampung terhadap masyarakat dalam karya, menganalisis makna tersirat dalam teks menggunakan perspektif kod simbolik dan seterusnya menilai sejauh mana siratan makna dalam teks menepati ciri-ciri konotatif dalam perspektif kod simbolik. Kajian ini telah dilakukan dengan menggunakan kaedah kualitatif mudah. Data bagi kajian ini dikumpul melalui setiap peristiwa penceritaan yang dihadirkan dengan penggunaan tanda atau simbol dalam penulisan. Oleh hal yang demikian, keseluruhan kajian ini telah menggunakan teori Semiotik, Roland Barthes, iaitu berfokuskan pada penggunaan simbol. Kajian ini menggunakan teori tersebut untuk merungkaikan makna dengan lebih terperinci mengenai tanda dalam setiap perkara yang ada atau wujud unsur penanda dan petanda dalam karya. Hal ini demikian kerana simbol yang digunakan oleh pengarang dalam penceritaan karya mempunyai makna tersurat dan tersirat. Berdasarkan penelitian yang telah dibuat, dapatlah dirumuskan bahawa Zahari Affandi telah menyelitkan beberapa simbol yang mempunyai makna tersendiri pada setiap peristiwa yang terdapat dalam karya beliau untuk menyampaikan mesejnya.

Kata kunci: Barthes, semiotik, kod simbolik, tanda, petanda, Zahari Affandi

Biografi Pengarang

  • Joyana Dilam Clement, Universiti Sains Malaysia
    Pusat Pengajian Sains Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2020-12-01